BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, December 20, 2009

RENUNGAN

Saturday, November 28, 2009

TATABAHASA 5

KATA PRAKLAUSA
Kata praklausa ialah kata yang hadir sebelum klausa. Kata praklausa terdiri daripada kata seru, kata tanya, kata pembenar dan kata pangkal ayat.

1. Kata Seru
Berfungsi melahirkan pelbagai perasaan seperti marah, terperanjat, terpegun dan sakit serta digunakan dalam ayat seruan. Contoh kata seru ialah aduh, cis, aduhai, amboi, eh, syabas dan wahai.
a) Aduh, sakitnya kepala aku!
b) Syabas, engkau telah menang!

2. Kata Tanya
Perkataan yang digunakan untuk menanyakan sesuatu atau menyoalkan sesuatu. Partikel "-kah" hendaklah digunakan sekiranya diletakkan pada awal ayat. Contohnya mengapa, berapa, bila dan bagaimana. Contoh ayat seperti:
a) Berapakah harga barang ini?
b) Bilakah kamu sampai?

3. Kata Perintah
Perkataan yang bertujuan menimbulkan sesuatu tindakan hasil daripada sesuatu perintah, arahan, larangan, silaan atau permintaan. Contoh kata perintah seperti jangan, usah, sila, jemput, minta, tolong, dan harap. Contoh ayat seperti:
a) Jangan buang sampah di merata-rata tempat.
b) Sila ambil minuman di sini.
c) Minta saudara semua bersabar.

4. Kata Pembenar
Perkataan yang mengesahkan sesuatu pernyataan. Contoh kata pembenar ialah ya, benar dan betul. Penggunaan dalam ayat adalah seperti:
a) Ya, itu kakak saya.
b) Benar kata pak sik itu.

5. Kata Pangkal Ayat
Perkataan yang hadir di hadapan ayat. Sebahagian besar terdapat dalam bahasa Melayu klasik. Contoh kata pangkal ayat ialah hatta, syahadan, adapun, alkisah, sekali, peristiwa dan arakian. Contoh ayat seperti:
a) Maka laksamana itu pun diberi persalinan
b) Arakian bersemayamlah baginda di Pahang.
c) Adapun kuda itu dipunyai oleh Tun Mahathir.

TATABAHASA 4

KATA TUGAS
Kata tugas ialah perkataan yang mempunyai tugas tertentu sama ada penghubung, penerang, penentu, penguat, penegas,pembantu pendepan, penafi, pembenar, pemeri atau tugas-tugas lain. Kata tugas dapat dikelompokkan ke dalam empat kelompok iaitu:
1. Kata Penyambung Ayat- ialah kata yang menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga membentuk ayat majmuk.
2. Kata Pascakata- ialah kata -nya yang hadir selepas sesuatu perkataan dan berfungsi sebagai penekan dan pembenda.
3. Kata Prafrasa- ialah kata yang terletak di hadapan frasa sama ada frasa nama, frasa kerja atau frasa adjektif.
4. Kata Praklausa- ialah kata yang terletak di hadapan klausa iaitu yang terdiri daripada kata seru, kata tanya, kata perintah, kata pembenar dan kata pangkal ayat.

Kata Penyambung Ayat
Kata penyambung ayat ialah kata hubung. Kata hubung terdiri daripada dua jenis iaitu kata hubung gabungan dan kata hubung pancangan.

1. Kata Hubung Gabungan
Kata hubung gabungan ialah sejenis kata yang menggabungkan dua ayat atau lebih dengan menggunakan kata hubung dan, lalu, atau, tetapi, serta, malahan, sambil dan kemudian. Contoh ayat seperti:
a) Abang Rizal peramah tetapi adiknya pendiam.
b) Kakak melayari internet sambil mendengar lagu.

2. Kata Hubung Pancangan
Kata hubung pancangan ialah jenis kata hubung yang menyambungkan klausa-klausa tak setara pada klausa utama. Kata hubung pancangan terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
a) relatif (yang)
1. Ayah membeli kereta yang berwarna hitam.
b) komplemen (bahawa)
1. Kita mesti sedar bahawa membaca itu jambatan ilmu.
c) keterangan (kalau, semoga, kerana, hingga, tatkala, untuk)
1. Kami berdoa semoga beroleh kejayaan dalam peperiksaan
2. Pegawai itu sering dipuji kerana rajin bekerja.
3. Hadiah ini disediakan untuk disampaikan kepada para pemenang.

TATABAHASA 3

AYAT SERUAN
Ayat seruan ialah ayat yang mengandungi kata seru. Kata seru ialah kata yang berfungsi untuk melahirkan berbagai-bagai perasaan. Contohnya aduh, aduhai, amboi, eh, oh, wah, wahai dan syabas. Contoh ayat seperti:
a) Aduh, sakitnya!
b) Eh, kamu Wan Jamil!

AYAT PERINTAH
Ayat perintah ialah ayat yang mengandungi kata perintah jangan, usah, sila, jemput, minta, tolong dan harap. Ayat perintah bertujuan menimbulkan tindak balas terhadap perintah, arahan, larangan atau permintaan. Contoh ayat seperti:
a) Silalah menjamu selera di dewan makan.
b) Jemput duduk.
c) Minta perhatian.

KATA PENEGAS
Kata penegas ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.
1. hanya menegaskan frasa predikat atau bahagian-bahagiannya. Contohnya -kah, -tah dan -lah.
2. menegaskan frasa nama sebagai subjek atau bahagian-bahagiannya atau frasa predikat atau bahagian-bahagiannya. Contohnya juga, jua, pun, sahaja, lagi dan memang.
3. untuk menegaskan subjek. Contohnya hanya.

contoh ayat seperti:
a) Dialah kakak saya.
b) Hanya Ali yang tidak hadir ke sekolah pada hari itu.
c) Apatah daya saudara.

AYAT NAFI
Ayat nafi ialah ayat yang mengandungi kata nafi. Ada dua kata nafi iaitu bukan dan tidak. Kata nafi bukan ialah unsur yang menafikan frasa nama dan frasa sendi nama. Kata nafi tidak pula ialah unsur yang menafikan frasa kerja dan frasa adjektif. Contoh ayat seperti:
a) Berita tentang kecurian tidak benar.
b) Pakaian itu bukan pakaian seragam sekolah saya.

TATABAHASA 2

KATA KERJA
Kata kerja ialah perkataan yang merujuk kepada sesuatu perbuatan atau keadaan melakukan sesuatu. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif.

KATA KERJA TRANSITIF
Kata kerja transitif ialah kata kerja yang diikuti oleh objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. Ia terbahagi kepada dua iaitu kata kerja transitif aktif dan kata kerja transitif pasif.

Kata Kerja Transitif Aktif
Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang menerima awalan meN- dengan atau tanpa akhiran -kan atau -i. Contohnya:
a) Pelajar-pelajar sedang membaca buku.
b) Abang menaiki bas ke sekolah.
c) Kerja mereka membuahkan hasil.

Kata Kerja Transitif Pasif
1. Kata kerja transitif pasif ialah kata kerja yang terhasil daripada perubahan ayat aktif menjadi ayat pasif. Contohnya:
a) Internet dilayari oleh David
b) Surat khabar dibaca oleh Muaz di ruang tamu.

2. Awalan ter- juga boleh wujud dalam ayat kata kerja transitif aktif. Contohnya:
a) Ahmad terlanggar tiang lampu
b) Dia tertelan biji durian.

3. Kata kerja pasif juba boleh menerima awalan ter-. Contohnya:
a) Batu besar itu tidak terangkat oleh saya.
b) Fikirannya tidak terganggu lagi oleh mimpi buruk itu.

KATA KERJA TAK TRANSITIF
Kata kerja yang tidak memerlukan objek sesudahnya. Terbahagi kepada dua subgolongan iaitu kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dan kata kerja tak transitif berpelengkap.

Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengkap
Boleh berdiri sendiri tanpa objek atau unsur lain untuk melengkapkan maksud ayat. Boleh diikuti oleh unsur keterangan yang berfungsi sebagai maklumat tambahan. Contohnya
Tanpa pelengkap- a) Datuk saya masih tidur.
b) Pelajar lelaki itu tersenyum.
Diikuti oleh unsur keterangan- a) Datuk saya masih tidur di ruang tamu.
b) Pelajar lelaki itu tersenyum apabila disapa.

Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap
Kata kerja yang mesti diikuti oleh pelengkap bagi menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini hendaklah dibezakan daripada objek atau penyambut kerana ia hanya hadir selepas kata kerja transitif dan boleh pula mengalami proses pasif. Pelengkap ialah unsur yang hadir selepas kata kerja tak transitif untuk menyempurnakan maksud ayat. Ayat yang mengandungi pelengkap tidak boleh dipasifkan. Unsur-unsur yang menjadi pelengkap ini boleh terdiri daripada kata adjektif, frasa sendi nama atau kata nama. Contohnya:
a) Keluarga Encik Gan tinggal di Taman Siber Murni.
b) Pesakit itu beransur sihat.




TATABAHASA

KATA NAMA
Kata nama ialah perkataan yang merujuk kepada orang, benda, perkara, tempat atau konsep. Ia menjadi unsur inti dalam binaan frasa nama. Terdapat tiga golongan kata nama iaitu kata nama am dan kata nama khas

KATA NAMA AM
Kata nama am ialah perkataan yang merujuk kepada orang, benda, perkara, tempat atau konsep yang umum sifatnya. Contohnya:
a) benda- komputer, manusia, buku, bunga raya
b) perkara- cahaya, musim, udara, iklim
c) konsep- kerohanian, keegoan, kesegaran
d) tempat- sekolah masjid, balai raya
e) orang- cikgu, pelakon, penyanyi

KATA NAMA KHAS
Kata nama khas merujuk kepada sesuatu nama orang, haiwan, benda, institusi atau seumpamanya. Setiap huruf awal perkataan pada kata nama khas mestilah ditulis dengan huruf besar. Contohnya, Abdul Ghaffar, Sang Kancil, Universiti Malaya dan sebagainya.